Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan aku begitu berani  mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku  sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada  sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu  sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu  yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan  cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.
Ibu telah mendidikku semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota  diriku kerana ALLAH telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti.
Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga  dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil-alih tanggungjawab itu  dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi.  Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki  kerana aku tidak mahu membelakangimu.
Aku menghalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku  tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka.  Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku  dengan bukan mahramku. Aku lebih suka berada di rumah kerana rumah itu  tempat yang terbaik buat seorang perempuan. Aku sering berasa tidak  selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap  kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada kerana contoh banyak di depan  mata.
Aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik memerhati diriku atau  cuba menegurku. Aku sedaya mungkin melarikan pandanganku daripada lelaki  ajnabi kerana Sayyidah Aisyah r.a pernah berpesan, 
"Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki." Aku  tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di  matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku  hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak berasa bangga menjadi  rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan sebegitu  seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.
Tidak ku nafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi  dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah  aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia  semata-mata untukmu. ALLAH telah memuliakan seorang lelaki yang bakal  menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati  yang menjadi lebihan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang  tulen.
Diriku yang sememangnya lemah ini telah diuji oleh ALLAH apabila seorang  lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak,  berbagai-bagai dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa.  Aku terasa seolah-olah kehidupanku yang tenang sebelum ini telah  dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing  kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar  Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.
Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau ku  rasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal  sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu  bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki  itu bukan teman hidupku kelak. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet  dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata  sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku  juga punyai keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki  yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang  satu.Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf a.s, juga harta  seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman a.s, atau kekuasaan seluas kerajaan  Nabi Muhammad s.a.w, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk  membuat aku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Loh  Mahfuz, ALLAH pasti mencampakkan rasa kasih dalam hatiku jua hatimu. Itu  janji ALLAH. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang  sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak  mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan melampaui batasan yang  telah ALLAH tetapkan. Aku takut perlakuan itu akan memberi kesan yang  tidak baik dalam kehidupan kita kelak.
Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu  pada mencari redha Illahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat  menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat  bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat  juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau  tersungkur di medan yang dijanjikan ALLAH dengan kemenangan atau syahid  itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu  impianku.
Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh  cintamu kepadaku. Cukuplah kau mencintai ALLAH dengan sepenuh hatimu  kerana dengan mencintai ALLAH, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta  itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan  mempertemukan kita kembali di syurga…
Wassalam…
p/s: indah sngat surat ini...ianya bukanlah ilham dari saya..syukran pada siapa yg buat..
       harap menjadi teladan untuk kita semua dalam melayari kehidupan berliku ini..=))
Nadia Alzahra